Monday, April 20, 2009

DADAH DI AMERIKA LATIN DAN ANCAMAN KESELAMATAN INSAN

DADAH DI AMERIKA LATIN DAN ANCAMAN KESELAMATAN INSAN

1. PENGENALAN
Amerika Latin adalah merupakan kawasan yang amat luas yang bermula dari mexico hinggalah ke bahagian selatan iaitu Amerika Tengah dan terus ke selatan meliputi keseluruhan benua Amerika Selatan. Sebanyak 30 buah negeri terdapat dalam gugusan Amerika Latin . Kebanyakkan negara di kawasan tersebut sudah merdeka kecuali beberapa jajahan kecil yang masih lagi dikuasai penjajah.Dari segi sejarahnya kawasan ini adalah jajahan takluk terbesar Sepanyol, Portugis dan Jerman yang menjadi kawasan utama perlombongan seperti emas, perak dan minyak serta pengeluar kayu balak dunia. Ia juga di kelilingi lautan yang kaya dengan hasil laut jadi tidak hairanlah ianya merupakan antara kawasan yang terawal dijajah oleh kuasa besar dahulu iaitu sekitar abad ke 17 lagi.
Menurut Jorge (2008) terdapat empat isu utama yang mengancam keselamatan di rantau ini iaitu isu dadah, emigrasi, kemiskinan dan konflik sempadan. Memandangkan Amerika Syarikat dari segi geografinya adalah berdekatan maka ramai dari kalangan rakyat dari rantau ini terutamanya dari Amerika Tengah yang terdiri dari negara-negara seperti Guatamala, Colombia dan Bolivia yang berhijrah secara haram ke sana bagi mencari peluang pekerjaan khususnya di bidang pertanian dan pembinaan dan mereka telah menghantar wang ke negara asal yang membantu keluarga mereka di sana. Bagaimanapun akhir-akhir ini Amerika Syarikat telah menguatkuasakan sekatan terhadap buruh asing yang memasuki secara haram ke negara itu dan ini amatlah menyukarkan negara asal pendatang kerana mereka bergantung kepada tukaran wang asing yang dihantar oleh pendatang itu setiap bulan sebagai contoh Mexico menerima RM 70 billion tahunan dari rakyatnya yang bekerja di sana, serta akan menimbulkan konflik sosial jika kesemua mereka diarah kembali ke kampong halaman yang selama ini gagal untuk membekalkan pekerjaan. UNHCR( 2004) melaporkan bahawa di kawasan rantau itu juga berlaku pertelingkahan sempadan umpamanya antara Colombia dan Equador serta Chile dan Peru . Walaupun tiada perang besar berlaku tetapi semua ini boleh mengancam keselamatan rantau itu. Bagaimanapun Peter Hakim (2006) berpendapat bahawa isu dadah didapati merupakan isu yang paling besar yang boleh mengancam kestabilan rantau itu. Beliau mengatakan bahawa negara-negara di Amerika Latin adalah berisiko tinggi untuk menjadi pusat kegiatan dadah, pengubahan wang haram, dan juga operasi jenayah dan ini akan mengakibatkan kestabilan negara dan insan terancam. Ini kerana jika masalah ini gagal dibendung maka ianya akan menular kesemua negara yang mana akan mengancam keselamatan seluruh negara di rantau itu.

Rajah 1: Peta Amerika Latin


1.1 SKOP KAJIAN
Kajian ini adalah menumpukan kepada negara utama pengeluar dadah seperti Bolivia, Guatemala, Colombia, Chile dan Peru serta negara transit dadah seperti Panama dan Mexico serta kesan terhadap keselamatan insan di negara-negara itu dan sekitar rantau.

1.2 DEFINISI DADAH
Menurut kamus Webster 1990 dadah didefinisikan sebagai ubat-ubatan ataupun yang menyebabkan kesan pada fizikal dan atau mental. Apa yang menjadikan dadah itu sebagai bahan terlarang ialah apabila ada larangan berkenaan pembuatan, penanaman , pembawaan, penyimpanan, penjualan atau penggunaan dadah itu sendiri. Seluruh dunia telah bersetuju untuk mensyaratkan berkenaan perkara-perkara di atas walaupun ada perbezaan dari segi syarat tersebut antara satu negara dengan negara yang lain tetapi yang jelasnya ianya merupakan barangan yang dikawal berdasarkan jenisnya, atau pun beratnya.
Menurut Steven(2006) jenis dadah utama yang terdapat di rantau Latin Amerika ialah bersamaan dengan kesemua jenis dadah yang terdapat di rantau lain kerana muka bumi di situ ialah berbagai jenis dan iklimnya juga berbagai iaitu dari jenis iklim khatulistiwa di negara Colombia, Venezuela dan Brazil yang sesuai untuk koka dan ganja umpamanya, ke iklim tropika di utara dan selatan ketiga-tiga negara itu yang sesuai untuk pokok popi yang mengeluarkan heroin walaupun tidak sebanyak di kawasan Segi Tiga Emas di Asia.
Semenjak 1960an dunia merasai kesan dadah yang mana sehinga kini terdapat hampir 4% penagih dadah di seluruh dunia. Steven(2006) menambah bahawa penyalahlahgunaan dadah meningkat apabila kejayaan dalam menulinkan dadah itu sehingga menjadi penggunaannya lebih senang dengan berbagai bentuk seperti serbuk, cecair dan pil. Sehingga kini di rantau itu terdapat 13.2 juta pengguna dadah secara suntikan.
2. PEMASALAHAN KAJIAN.
Semasa kedatangan Sepanyol dalam abad ke 17 ke rantau itu, mereka seperti penjajah-penjajah yang lain telah membawa hasil bumi jajahan takluk ke negara asal. Daun koka telah dibawa balik bagi tujuan kajian kerana mereka teruja dengan keupayaan daun ini bagi mengurangkan rasa lapar serta memberi tenaga untuk menjalankan kerja pertanian dan perlombongan penduduk tempatan. Bagaimanapun hasil dari kejayaan penyelidikan telah menemui bahan dadah dikenali sebagai kokain yang kemudiannya telah diniagakan pada permulaannya sebagai ubat-ubatan sebelum disalahgunakan secara meluas yang seterusnya menjadi satu wabak penagihan ke seluruh dunia. Koka yang digunakan sebagai ubatan tradisional telah diglobalisasikan dan disalahgunakan sehingga menjadi ancaman kepada keselamatan insan penduduk negara-negara asal pokok itu sendiri. Berdasarkan Christine(2008) berbagai tindakan kerjasama serantau dengan negara jiran telah dibuat bagi mengatasi masalah bersama ini seperti melalui Organization Of Amerika States (OAS) yang merupakan organisasi yang dipelopori oleh Amerika Syarikat meliputi semua negara dari Kanada di utara hinggalah ke selatan merangkumi semua negara di Benua Amerika Selatan. Di samping itu juga terdapat Inisiatif Merida iaitu satu kerjasama antara Amerika Syarikat, Mexico dan semua negara di Amerika Tengah bagi mengatasi masalah dadah dan jenayah rentas sempadan yang masih berterusan sehingga ke hari ini.

3. ANDAIAN KAJIAN/HUJAH
Dadah telah menjadi satu ancaman kepada keselamatan insan bagi penduduk di rantau Amerika Latin kerana ia mengancam politk, ekonomi dan kesihatan. Ancaman dadah terhadap ketiga-tiga perkara ini akan membawa kepada ancaman terhadap keselamatan insan di rantau ini. Apabila insan menderita maka kesannya kepada negara tidak boleh dielakkan kerana negara tanpa rakyat yang hidup dalam aman dan sejahtera maka fungsi pemerintahan juga akan musnah dan mendedahkan bahaya ancaman keselamatan samada dari dalam dan luar negara.
4. KONSEP KESELAMATAN INSAN
Kajian berhubung dengan permasalahan dadah bolehlah dilihat dari beberapa isu atau teori besar seperti dari sudut keselamatan negara, kemiskinan, alam sekitar atau pun keselamatan insan. Bagi penulisan ini ianya dikupas dari sudut keselamatan insan iaitu sejauhmana kesannya pada individu warganegara yang berada di rantau itu. Berdasarkan Siti Daud dan Zarina (2005) konsep keselamatan insan adalah merupakan satu pengembangan kefahaman tentang keselamatan negara. Jika dahulu negara dikatakan selamat jika tiada ancaman dari luar maka berlandaskan perkara yang sama telah didapati terdapat rakyat atau insan manusia yang menderita walaupun negara yang diduduki tiada ancaman dari luar. Penderitaan tersebut di lihat dari 7 faktor iaitu seperti yang disarankan oleh Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu pada 1995 tentang hak asasi manusia iaitu yang berkaitan dengan kecukupan makanan, kesihatan, peluang berpolitik, berekonomi, persekitaran , individu dan komuniti. Ketujuh-tujuh perkara itu menjadi sukatan tentang sejauh mana keselamatan rakyat sesebuah negara itu dikatakan selamat atau sebaliknya. Ini adalah kerana penglibatan dengan kegiatan dadah samada penggunakan dadah atau mengedar dadah adalah salah dan melanggar undang-undang negara serta mengakibatkan kemudaratan kepada kesihatan insan sendiri. Baylis et al (2008) juga memperkatakan tentang perkara yang sama iaitu konsep keselamatan insan adalah berkisar kepada empat perkara iaitu penolakan kepada pertumbuhan ekonomi dan pembangunan insan sebagai indikator utama keselamatan insan, peningkatan terhadap konflik dalaman negara, kesan terhadap globalisasi seperti jenayah dan penyakit yang merentasi sempadan dan akhir sekali penekanan terhadap isu hak asasi dan campur tangan kemanusiaan . Empat perkara yang diperkatakan ini menunjukkan bahawa penekanan terhadap tahap kualiti hidup insan telah ditingkatkan dan dititikberatkan dan isunya boleh merentasi sempadan negara berdasarkan semangat sejagatan insan.
.


5. 1. KESELAMATAN POLITIK
Dadah telah mengubah scenario politik semasa rantau Latin Amerika kerana kesan dari segi pengambilan rasuah yang mengancam ketelusan dan integriti dalam perlantikan ahli politik. Menurut DEA (2004) keadaan ini dapat dilihat dari kes rasuah di negara Panama pada tahun 1992 apabila Presiden Noreil Ortega telah menerima suapan berjumlah RM 18 juta bagi pengedaran dadah ke Amerika Syarikat yang akhirnya membawa kepada penangkapan beliau dan telah diekstradisi ke USA yang seterusnya diperjarakan selama 40 tahun. Di Bolivia pula pada 1991 ketua bagi unit anti dadah negara telah terpilih dari pengedar terbesar negara itu Rici Toro yang akhirnya juga membawa kepada penangkapan beliau dan seterusnya di penjarakan di USA. Kes terbaharu yang kita dapat lihat ialah kejadian serangan dan keganasan yang melibatkan anggota polis Mexico yang seterusnya membawa kepada perletakan jawatan Ketua Polis Mexico Februari lalu akibat tekanan dari ugutan untuk membunuh seorang anggota polis setiap hari jika beliau tidak berundur. Sebelum itu Ketua Polis Acapulco iaitu sebuah bandar peranginan di Mexico telah ditangkap rasuah membabitkan dadah dan siasatan menunjukkan bahawa 20% anggotanya terbabit sama dengan rasuah berkaitan dadah. Ini menunjukkan jentera kerajaan dan politik telah diresapi oleh kumpulan cartel iatu geng pengedaran dadah yang telah membeli mereka ini supaya aktiviti haram tersebut tidak terjejas.
Di samping itu akibat dari penglibatan aktif USA dalam perang melawan dadah telah menjejaskan kedaulatan rakyat rantau itu. Gina dan Martha (2001) mengatakan bahawa USA menekan negara-negara rantau supaya menubuhkan unit khas tentera bagi melawan cartel dadah. Ini kerana pasukan polis dikatakan korup. USA telah menghantar bantuan yang banyak serta unit tentera khas Green Beret bagi melatih tentera khas ini. Bagaimanpun perkara ini adalah disifatkan melanggar hak masyarakat tempatan kerana tentera khas ini menjalankan penguatkuasaan undang-undang awam (militarization of laws). Ini menimbulkan bantahan politik dari orang ramai kerana kekasaran melebihi batas hak asasi yang ditunjukkan dalam usaha membenteras dadah. Disamping itu juga tindakan USA yang memasuki ruang angkasa rantau dalam menjalankan intipan dadah telah mencabuli hak kedaulatan rakyat dan negara serantau walaupun dengan niat yang baik.
Menurut Gina dan Martha (2001) Jabatan Drugs Enforcement Agency (DEA ) Amerika Syarikat telah mengelarkan Mexico sebagai narco-demokrasi kerana aktor dadah sama kuat aktor negara semenjak 1986. 16,000 orang mati ditembak dlm dua puluh tahun bersabit kes dadah. Ada sebanyak 150 cartel di Mexico yang berkait rapat dengan 30 cartel di USA. USA telah menggelarkan cartel ini sebagai narcoterrorist. Berdasarkan bahasa yang keras itu mungkinkah USA pada satu tahap di masa akan datang akan mengambil tindakan lebih tegas dengan menggunakan ketenteraan untuk menyerang pengedar di negara ini ? . Tambahan pula rantau itu adalah pengeluar dadah utama seperti jadual 1 di bawah berbanding rantau lain. Semua ini sudah tentu akan mungkin menimbulkan huruhara dan ancaman kepada keselamatan rakyat seluruh rantau kerana mungkin mencetuskan perang.

LATIN AMERIKA-MEXICO,COLOMBIA, PERU GUATEMALA,BOLIVIA

75,100
SEGI TIGA BULAN SABIT-AFGHANISTAN, INDIA, PAKISTAN
408
SEGI TIGA EMAS-LAOS, BURMA, THAILAND

4,475

JADUAL 1 : PERBANDINGAN KELUARAN DADAH TAHUNAN DALAM TON




5. 2. KESELAMATAN EKONOMI.
Dadah telah memberi kesan yang amat besar kepada ekonomi serantau samada dari segi positif dan negatifnya. Dari segi kasarnya memang dadah membawa keuntungan kepada negara-negara pengeluar seperti Colombia, Peru, Ecuador, dan negara transit seperti Mexico. Peru umpamanya jumlah ekspot dadahnya merupakan 30% dari jumlah ekspot dagangannya. Manakala 20% keluaran negara kasar(KNK) Bolivia datang dari hasil dadah yang membekalkan 20% pekerjaan . Dadah telah memberi hasil lumayan kepada Colombia dengan menyumbang RM 13 Billion . Pada 1994 sebanyak RM$30 billion hasil dadah telah disumbangkan ke Mexico yang merupakan 20% KNK dan memberi pekerjaan kepada 360,000 orang. Semua statistik ini membuktikan yang betapa tertariknya penglibatan dalam pengeluaran dadah yang dikatakan jika pengeluaran 10% ditingkatkan, maka kesannya akan meningkatkan 2% KNK dan penurunkan 6% pengangguran.
Bagaimanapun negara –negara rantau menghadapi kesan sampingan yang lebih buruk. Pengedar dadah hanya tertumpu untuk melibatkan dalam spekulasi hartanah seperti hotel dan kediaman di bandar serta pembeliaan ladang di pendalaman.. Dengan ini menimbulkan huruhara kepada rakyat kerana mereka tidak dapat mengatasi persaingan dengan pemodal dadah yang menyebabkan terpaksa berpindah ke pinggir bandar. Ladang tradisi juga yang selama ini membekalkan hasil pertanian tidak lagi berupaya mengeluarkan kasil pertanian kerana tanah pertanian telah dibeli oleh cartel, keluaran pertanian merosot dan menyebabkan pergantungan penduduk kepada makanan luar. Kegiatan penggubahan wang haram juga melemahkan persaingan sihat dalam perniagaan kerana banyak syarikat terpaksa ditutup kerana cartel akan memulakan perniagaan dengan memberi potongan harga yang di luar kemampuan syarikat yang asli.
Menurut UNODC (2005) kerajaan di rantau itu juga membelanjakan wang yang amat banyak bagi mengatasi masalah ini .Colombia umpamanya menyediakan peruntukan sebanyak 2% dari bajet tahunan bagi membenteras dadah dan ini amatlah jauh lebih besar dari USA umpamanya yang hanya memperuntukan 0.3% sahaja. Mexico juga terpaksa menubuhkan tentera khas seramai 20,000 dan semua ini membebankan negara-negara yang majoritinya adalah negara miskin yang memerlukan bajet tahunan untuk pembangunan dan pelajaran insan. Menurut Richard(2008) , banyak negara di rantau itu yang kaya tetapi kerana agihan perbelanjaan yang tinggi terhadap pertahanan menyebabkan ianya tidak mencetuskan aktiviti yang dapat meningkatkan keselamatan penduduk iaitu insan.
5.3. KESELAMATAN KESIHATAN
Daun koka yang dahulunya makanan tradisi adalah tidak mengandungi toksin kerana ianya diambil dalam jumlah yang kecil tetapi selepas proses penulinan ianya adalah amat berbahaya kepada kesihatan jika disalahgunakan. Ianya akan mengakibatkan pengguna menjadi berani dan aktif dan mampu melakukan jenayah tanpa rasa takut kerana ianya bersifat stimulant. Kesan pengambilan berlebihan juga akan membawa kepada maut. Menurut Francisco (2008) dianggarkan seramai hampir 3% penduduk rantau itu adalah mengambil dadah dan sudah tentu melibatkan kos kesihatan yang tinggi kepada negara. Kesan pencemaran dari perkongsian jarum juga akan menyebabkan penyakit AIDS merebak dan memusnahkan ekonomi keluarga di rantau itu. Keluarga akan hilang tempat bergantung jika si bapa umpamanya tidak dapat bekerja dan ini menyebabkan kesengsaraan yang berpanjangan kepada institusi keluarga.
Dalam usaha kerajaan membasmi kawasan penanaman koka umpamanya sejenis ubatan bernama Tebutioron dan asid sulfuric telah disembur dari udara yang akan memusnahkan pokok koka dan pokok renek yang lain. Ini akan menyebabkan fauna dan flora turut terhapus yang mengakibatkan imbangan ekologi terjejas. Di samping itu juga sungai-sungai akan tercemar dengan racun kimia itu yang merupakan punca utama air untuk pertanian dan minuman harian penduduk. Tindakan yang drastik ini sebenarnya tidaklah efektif untuk membasmi kawasan dadah kerana berdasarkan kajian menunjukkan jika 90% pertanian koka termusnah, baki 10% yang terselamat masih lagi mampu menampung kos penanaman dan memberi untung.



6. CADANGAN.
Dalam menghapuskan penjualan dan penggunaan dadah secara haram yang akan merosakkan kehidupan insan di rantau Amerika Latin ini, beberapa pendekatan sebagaimana yang telah di cadangkan oleh International Crisis Group Working To Prevent Conflict Worldwide di dalam Latin America Report No. 26 : latin America Drug II bertarikh 14 March 2008 hendaklah diteruskan yang di antaranya mengariskan beberapa pendekatan yang harus diikuti seperti yang tersebut di bawah:-
6.1. Cadangan Kepada Negara Amerika : Pendekatan Peningkatan Pengurangan Permintaan.
Untuk mengurangkan permintaan dadah ini kerajaan Amerika hendaklah memperbaiki dan memperbesarkan taraf pendidikan awam dan program pencegahan dadah di sekolah-sekolah menengah tinggi serta membuat program pembenterasan dadah terhadap penagihan dadah jenis lain secara menyeluruh. Penambahan mahkamah pengadilan mengenai kesalahan dadah dan memperbaiki program pemulihan serta tempat rujukan pemulihan kepada penagih-penagih yang sudah kronik.
Kerajaan Amerika juga dicadangkan untuk menawarkan lebih banyak program lanjutan kepada bekas banduan untuk mendapatkan rawatan peralihan dan pemulihan. Cadangan ini termasuklah peningkatan pertukaran maklumat secara sistematik mengenai pencegahan dadah, rawatan, pemulihan dan penguatkuasaan undang-undang dengan negara-negara Eropah dan juga mana-mana pertubuhan mengenainya. Pembangunan pendekatan komunikasi moden bagi mendekati penagih dadah.
6.1.2. Pendekatan memfokuskan penurunan bekalan dadah.
Pendekatan ini dicadangkan kepada negara Amerika dalam menurunkan bekalan dadah dengan meningkatkan secara besar-besaran alternatif dan pembangunan luar bandar, menguatkan institusi dan komponen kerajaan tempatan di dalam pelan inisiatif memerangi dadah di Colombia dan negara Andean (ACI).
Mengubah program pembasmian penghapuskan penanaman pokok koca secara penyemburan secara membuta tuli melalui udara kepada penghapusan secara manual bagi meningkatkan ekonomi kepada peladang dan meminimumkan tindakan pembenterasan yang hanya digunakan sekiranya perlu bagi menjaga hati masyarakat di Bolivia dan Peru.
Seterusnya meningkatkan pertukaran maklumat dengan negara-negara kesatuan Eropah dan juga Amerika latin sebagai negara pengeluar dalam menurunkan bekalan. Ini termasuk menumpukan penangkapan terhadap sasaran terhadap broker dan juga pemborong dadah dan juga menghapuskan kumpulan-kumpulan jalanan bagi mengembalikan mereka kejalan yang betul dan menjadi masyarakat yang berguna. Kerajaan Amerika juga dicadangkan untuk memberikan fokus terhadap Initiative Merida serta memperkuatkan institusi serta penguatkuasaan undang-undang di Mexico dan Amerika Tengah di dalam memerangi gejala rasuah.
6.2. Cadangan Kepada Kesatuan Eropah dan negara-negaranya : Pendekatan Peningkatan Pengurangan Permintaan.
Untuk mengurangkan permintaan dadah ini Kesatuan Eropah dan negara-negara nya hendaklah memperbaiki taraf pendidikan awam terutamanya di Itali, Sepanyol dan United Kingdom dengan menumpukan kepada penuntut kelas menengah, kelas tinggi dan juga golongan berpendapatan tinggi.Ini termasuk kepada pengembangan program pemulihan terhadap penagih dan penagih tegar di negara tersebut.
Negara Kesatuan Eropah hendaklah menilai dengan tepat kesan keburukan penurunan permintaan dadah dan mengambil langkah yang sesuai intuk memperbaiki cara perlaksanaan penghapusan permintaan dadah dan hendaklah meningkatkan sistem pertukaran maklumat mengenai pencegahan dadah, rawatan dan pemulihan serta penguatkuasaan undang-undang mengenai dadah dengan negara Amerika dan juga mana-mana badan penguatkuasaan dadah antara bangsa.
6.2.1. Pendekatan memfokuskan penurunan bekalan dadah.
Pendekatan ini dicadangkan kepada negara Kesatuan Eropah dalam menurunkan bekalan dadah dengan meningkatkan secara besar-besaran alternatif dan pembangunan luar bandar, menguatkan institusi dan komponen kerajaan tempatan di dalam pelan inisiatif memerangi dadah di antara negara-negaranya. Ini termasuk juga hubungan yang harmoni dalam meningkatkan kerjasama membenteras dadah.
Kesatuan Eropah juga digalakkan supaya mewujudkan sistem pertukaran maklumat dengan negara Amerika dalam menghapuskan bekalan dadah di Amerika latin dan juga negara persinggahan dadah. Memperbaiki hubungan koordinasi di dalam penguatkuasaan undang-undang bagi kejayaan membenteras dadah disempadan Eropah dan juga penghapusan organisasi pengedarannya.
Kesatuan Eropah dan negara-negaranya juga disarankan supaya menubuhkan kerjasama yang mantap dalam penguatkuasaan undang-undang dan memerangi dadah dengan negara Amerika, Amerika latin dan Afrika barat bagi menambah kecekapan dalam mengawal merebaknya kegiatan haram ini dengan mensasarkan kepada broker, orang tengah dan juga pemborong dadah atau cartel di negara-negara Eropah.
6.3. Cadangan Kepada Kerajaan Maxico, Amerika Tengah dan negara-negara Caribbean: Pendekatan Peningkatan Pengurangan Permintaan.
Untuk mengurangkan permintaan dadah negara-negara seperti Maxico, Amerika Tengah dan juga negara-negara Caribbean dicadangkan agar memperkuatkan tindakan memerangi gejala rasuah dan salah gunakuasa dikalangan agensi penguatkuasaan undang-undang dan juga angkatan tenteranya yang dikatakan banyak melakukan rasuah dalam membenteras kegiatan pembekalan dan pengedaran dadah. Tindakan drastik termasuk membubarkan pasukan yang sedia ada dan menubuhkan pasukan baru adalah merupakan cadangan yang sebaiknya bagi negara-negara yang menghadapi masalah rasuah yang serius dan juga penyelewengan serta penyalahahgunaan kuasa.
Cadangan seterusnya adalah mensasarkan dengan lebih efektif terhadap organisasi kelas menengah dan juga organisasi besar pengedaran dadah dan meningkatkan pendekatan pengawalan serta pembubaran kumpulan-kumpulan jeneyah dadah dikalangan masyarakat miskin di bandar-bandar besar dan juga mengembalikan mereka kedalam masyarakat awam yang menjalani cara hidup sihat. Peruntukan yang disediakan di dalam Iniciative Merida hendaklah digunakan sepenuhnya bagi meningkatkan kehidupan masyarakat yang telah terbiar ini bagi memberikan kesempatan kepada mereka untuk hidup bersama masyarakat sivil dan juga menguatkan institusi penguatkuasaan di Mexico dan juga Amerika Tengah.

6.3.1 Pendekatan memfokuskan penurunan bekalan dadah.
Pendekatan ini dicadangkan kepada bukan sahaja di negara Kesatuan Eropah dan juga Amerika tetapi juga dicadangkan kepada seluruh negara Amerika latin, Maxico, Amerika Tengah dan negara-negara Caribbean dalam menurunkan bekalan dadah dengan meningkatkan secara besar-besaran alternatif dan pembangunan luar bandar, menguatkan institusi dan komponen kerajaan tempatan di dalam pelan inisiatif memerangi dadah di antara negara-negaranya.Ini termasuk juga mengembangkan institusi pendidikan menegah, tinggi dan juga kelas atasan di dalam program-progran pencegahan dan pemulihan dadah. Kerjasama juga diperlukan bersama negara-negara Amerika latin, negara-negara Eropah dan juga Amerika dalam pertukaran maklumat yang bersistematik.

6.4. Cadangan Kepada Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu.
Di dalam pembenterasan pembekalan dan juga pengedaran dadah antarabangsa peranan badan antarabangsa terutama Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) seharusnya melaksanakan penilaian yang berkesan, keras dan transferen dengan penglibatan masyarakat awam seluruh dunia dalam dalam pembangunan menurunkan bekalan dan permintaan untuk dadah yang dilaksanakan sejak tahun 1998 semasa Perhimpunan Agung Khas (UNGASS) dalam krisis mengenai dadah.
PBB seharusnya mempromosikan penubuhan persetujuan polisi baru dan berkemampuan dalam menanggani isu politik semasa dan memperkukuhkan kerjasama serta menyelaras dasar mengenai dadah di antara negara-negara seperti Amerika, Eropah, dan latin Amerika yang merupakan sumber, transit dan negara pengguna serta mencapai keseimbangan yang berkesan di dalam pembenterasan pembekalan dadah dan juga permintaannya.

6.5. Cadangan-cadangan lain.
Selain daripada cadangan-cadangan yang telah dijelaskan di atas terdapat juga beberapa cadangan lain yang boleh dilihat sebagai alternatif bagi penambahbaikkan kepada program mengurangkan dadah di Amerika Latin dan rantaunya demi keselamatan insan dan negara serantau.
Pertama , program tanaman gantian bagi rakyat miskin perlulah diperhebatkan lagi. Subsidi dari segi bantuan baja, benih dan jentera pertanian mestilah diberi dan pemantauan tentang keberkesanannya mestilah dibuat dengan lebih aktif supaya ianya dapat mengubah minda petani untuk tidak lagi meneruskan aktiviti tradinya itu. Ini adalah penting kerana selama ini rakyat bergantung kepada pengedar dadah yang membeli hasil tanaman atau bekerja untuk mereka akibat kemiskinan. Dengan peranan lebih aktif kerajaan maka rakyat akan merasa terbela dan faham serta akur tentang program pembasmian dadah.
Kedua, kesan perjanjian North America Free Trade Assosition(NAFTA) mestilah dikaji dan menjadi contoh untuk perjajian perdagangan akan datang kepada negara rantau akibat ketidak imbangan dagangan dan persaigan yang tidak sihat. Kimberly( 2008) mengatakan akibat dari subsidi pertanian yang tinggi kepada petani di Amerika Syarikat hasil pertanian dapat diekspot dengan murah ke Mexico dan ini menyebabkan industri pertanian Mexico gagal bersaing dan menyebabkan kesengsaraan kepada insan yang terlibat dengan industri itu yang mana beralih kepada dadah sebagai alternatif pekerjaan.

Ketiga, tindakan agresif kerajaan perlu ditingkatkan bagi memusnahkan cartel yang berleluasa dengan memastikan pemilihan pemimpin yang bebas dari dadah. Sokongan dari Amerika Syarikat perlulah diteruskan kerana negara itulah pengimpot utama dadah dari rantau. Berdasarkan konsep ‘supply and demand’ maka amatlah bertepatan usaha sama diperkemaskan lagi untuk memastikan tiada atau berkurangan permintaan terhadap dadah itu. Negara-negara di rantau mestilah bersatu dan bertindak dengan lebih aggresif bagi memastikan keikhlasan dalam membasmi dadah.

7. KESIMPULAN
Dadah amatlah merbahaya kepada keselamatan insan kerana kesannya kepada manusia telah terbukti. Pengedar dadah mampu melantik pemimpin dan jentera kerajaan yang korup yang akan gagal memerintah dengan baik yang menyebabkan perancangan untuk kebaikan insan tidak berjalan dengan baik. Bajet untuk meningkatkan ekonomi , kesihatan dan pelajaran rakyat terpaksa dilencong kepada perbelanjaan kesihatan pesakit akibat pegambilan dadah dan membenteras pengedaran dadah, ini amatlah merugikan rakyat. Rantau tersebut yang sememangnya miskin akan terus hidup dalam kesusahan dan hasrat Pertubuhan Bangsa Bersatu (PBB) supaya tujuh perkara asas yang akan menjamin keselamatan insan tidak akan dirasai oleh rakyat. Kesemua kesan keselamatan terhadap politik, ekonomi dan kesihatan akan memberi impak yang segera kepada keselamatan insan. Jika insan yang selama ini mendokong kekuatan negara maka negara yang mempunyai insan yang musnah akibat dadah maka akan melemahkan keselamatan negara itu sendiri dan seterusnya akan mengkucar-kacirkan keselamatan rantau itu sendiri.

1 comment: