Wednesday, April 8, 2009

SERANGAN PENGGANAS – PERSIAPAN MENGHADAPI BENCANA KEGANASAN MENURUT PERSPEKTIF MALAYSIA.

SERANGAN PENGGANAS – PERSIAPAN MENGHADAPI BENCANA KEGANASAN MENURUT PERSPEKTIF MALAYSIA.

PENDAHULUAN

Sejarah menunjukkan era selepas kemerdekaan sebagai tempoh kritikal di mana insurgensi komunis, konflik entik, dan ancaman dari negara-negara jiran menjadi isu penting yang mempengaruhi corak pentadbiran negara dan politik tanah air ( Zarina 2005). Dalam konteks keselamatan dan politik Malaysia , tema-tema penting yang sering dibahaskan adalah negara yang dipertikaikan (contested state), keabsahan regim pemerintah, persoalan etnik dan status kewarganegaraan serta pertikaian tentang idealogi negara. Dalam menghadapi kemelut seperti ini kemungkinan berlakunya perasaan tidak puas hati dikalangan individu dan juga kumpulan berkepentingan dan juga aktor bukan kerajaan dari dalam dan luar negara yang ingin mengambil kesempatan bagi mencapai cita-citanya dengan melakukan serangan-serangan berbentuk keganasan dan mengakibatkan bencana.
Dalam dunia globalisasi berbagai bentuk dan jenis keganasan boleh berlaku dengan menggunakan cara tradisional dan penggunaan senjata pemusnah besar-besaran seperti penggunaan bahan kimia, biologi, radiologi dan juga nuklear yang dikenali sebagai senjata CBRN (Chemical,Biological, Radiological, Nuclear). Ia dicetuskan oleh unsur-unsur domestik mahupun antarabangsa. Krisis keganasan tersebut boleh dan berpotensi menggugat kestabilan serta keselamatan negara.

Pelbagai jenis kemalangan dan bencana boleh berlaku akibat dari serangan pengganas ini dan ianya tidak diketahui dimana akan berlaku dan juga bila ianya akan terjadi.

Keganasan dan bencana semestinya akan menyebabkan banyak kehilangan nyawa dan kemusnahan harta benda serta akan menggugat keamanan, ekonomi dan kesejahteraan di seluruh dunia. Kedua-dua isu ini perlu ditangani dengan sebaik mungkin dan negara Malaysia mampu menghadapinya.

2. TUJUAN

Kertas kerja ini bertujuan mengkaji persiapan Malaysia dalam pengurusan, pendekatan dan pengendalian krisis keganasan serta bencana akibat daripada serangan pengganas dan bagi mengujudkan satu mekanisme pengurusan untuk menentukan peranan serta tanggungjawab agensi-agensi yang terlibat dalam tindakan menangani sesuatu krisis keganasan atau bencana yang timbul di dalam negara.
Ia meliputi pengurusan dan pengendalian krisis keganasan dan bencana yang dicetuskan oleh unsur-unsur ekstrimis atau kumpulan-kumpulan domestik di pos kawalan tempat kejadian atau pusat kawalan operasi bencana.

3. DEFINISI
3.1. Takrif keganasan

Dapat ditakrifkan ‘Keganasan’ sebagai penggunaan kekerasan tanpa kuasa undang-undang sama ada dalam bentuk ancaman atau serangan dari satu pihak ke pihak yang lain. Dengan apa jua niat atau justifikasinya yang ditujukan kepada sesuatu pihak (Negara atau orang awam atau persendirian) bagi menjejaskan atau memudaratkan pihak yang lagi satu itu.
Jika sesuatu bentuk ancaman atau serangan itu ditujukan kepada sesuatu negara ia adalah bagi maksud menjejaskan dan memudaratkan keselamatan/ketenteraman awam atau kepentingan asas sesebuah negara itu bagi menimbulkan rasa gentar dan takut dengan tujuan agar dapat memaksa pihak itu melaksanakan atau menyokong permintaannya (MKN NO. 18 : Julai 2002).

3.2. Takrif bencana

Bencana ditakrifkan sebagai sesuatu kejadian yang berlaku secara mengejut, bersifat kompleks dan mengakibatkan kehilangan nyawa, kemusnahan kepada harta benda atau alam sekitar serta menjejaskan aktiviti masyarakat setempat. Kejadian ini memerlukan pengendalian yang melibatkan sumber, peralatan, kekerapan dan tenaga manusia yang ekstensif daripada banyak agensi serta penyelarasan yang berkesan, dalam mana kemungkinan memerlukan tindakan yang kompleks dan jangkamasa yang panjang (MKN NO. 20 : Julai 2001)

SENARIO KEJADIAN-KEJADIAN KEGANASAN DAN BENCANA DARI KEGANASAN
4.1. Kejadian-Kejadian Keganasan

Kejadian-kejadian keganasan samada bermotifkan ideologi, politik, agama, wang tebusan ataupun tindakan keganasan semata mata telah banyak berlaku di Malaysia dan juga di luar negara seperti rampasan kapal terbang, rampasan kapal dagang termasuk penahanan ke atas warganegara Malaysia sebagai tebusan di luar negara di Somalia tahun 2008, penculikan ke atas rakyat Malaysia yang berlaku dalam wilayah negara dan dijadikan tebusan di luar Negara.
Tindakan atau ancaman oleh kumpulan atau individu dengan menggunakan senjata berbahaya (lethal weapons) bahan letupan (explosives), bahan-bahan berbahaya (hazardous materials) atau senjata-senjata pemusnah (weapons of mass distructions) sama ada senjata kimia, biologi atau nuklear, yang boleh menimbulkan keadaan cemas, mengancam keselamatan nyawa, harta benda serta kepentingan dan keselamatan negara seperti Contohnya penculikan dan pembunuhan keatas 2 anggota polis di Sauk oleh kumpulan Al-Maunah, pada tahun 2000, serangan Anthrax Letters (Biological) pada tahun 2001, tragedi 11 September 2001 iaitu kemusnahan World Trade Centre di New York, Amerika Syarikat dan banyak lagi siri keganasan yang berlaku.
Tindakan atau ancaman oleh kumpulan yang terlibat dalam konflik bersenjata di luar negara, dimana perjuangan kumpulan berkenaan melimpah ke wilayah Malaysia seperti masalah di Selatan Thailand.

4.2. Kejadian-Kejadian Bencana akibat daripada kegiatan pengganas

Kejadian-kejadian bencana yang diliputi adalah seperti Serangan pengganas di kawasan industri seperti kejadian letupan, kebakaran, pencemaran dan kebocoran bahan-bahan berbahaya (hazardous materials) daripada kilang-kilang, loji dan depoh perusahaan yang memproses, mengeluar dan menyimpan bahan-bahan berkenaan, Kemalangan udara yang berlaku di kawasan yang terdapat binaan-binaan dan orang ramai, Kemalangan akibat serangan pengganas menggunakan nuklear dan radiologi serta bahan kimia seperti kejadian di Aum Shinrikyo, Jepun tahun 1995, serangan Anyhrax Letters Attack di Amerika tahun 2001 dan letupan hotel di Bali Indonesia tahun 2002 yang melibatkan kehilangan nyawa, kemusnahan kepada harta benda atau pencemaran kepada alam sekitar serta kejadian pelepasan gas beracun di tempat awam.

LATAR BELAKANG PENGGANAS DAN SENJATA PEMUSNAH BESAR-BESARAN
Selepas tragedi serangan World Trade Centre pada 11 September 2001, satu gelombang baru mengaitkan Islam dengan keganasan telah berlaku. Perkembangan ini dapat dikaitkan dengan karya Samuel Hutington yang mengkisahkan tentang pertembungan peradaban antara yang baik dengan yang jahat dan antara yang berperadaban dengan yang kuno (Ahmad, 2002). Sejurus selepas tregedi itu, Amerika Syarikat telah mengambil tindakan yang tidak berimbang dengan pendekatan melawan keganasan dengan keganasan seperti yang dipamerkan dalam menghadapi orang awam yang tidak berdosa dan lemah di Afghanistan. Pada peringkat itu pandangan berat sebelah terhadap Islam dirasai dengan ketara dan Amerika Syarikat menunjukkan taringnya terhadap Islam dengan begitu megah sekali. Terdapat gambaran umum bahawa tindakan Amerika Syarikat itu ialah sebagai langkah membalas dendam (Shad Saleem, 2002).
Ekoran dari gambaran dan persepsi yang terbentuk melalui bantuan media, Islam digambarkan sebagai kelompok pengganas kerana konsep Jihad yang tidak mereka difahami. Barat tidak mengambil peduli punca keganasan sebaliknya memerangi keganasan berasaskan kepada agama. Sungguhpun perjuangan pengganas dalam apa juga keadaan adalah tidak boleh diterima, Kerajaan Malaysia membuat dua pengecualian mengenainya. Pertama ialah sebarang perbuatan ganas untuk menentang penaklukan dan kedua, menggunakan kekerasan untuk memerdekaan sesebuah negara dari pendudukan asing (Malaysia, 2002). Pendekatan Malaysia dalam memberikan definisi pengganas dilihat bertentangan kerana “state actor” turut diiktiraf sebagai pengganas dan takrifan tersebut dilihat sebagai tidak memberikan pengecualian kepada negara Kuasa Besar. Sehubungan itu, takrifan mengenai pengganas adalah berbeza-beza mengikut sudut pandangan politik pihak yang memberikan definisi. Secara ringkas dapatlah dijelmakan bahawa penakrifan pengganas itu sendiri telah dimanipulasikan untuk disesuaikan kepada selera pemerintahan atau kepimpinan sesebuah entiti.
Kementerian Dalam Negeri United Kingdom (1994) telah melihat aktiviti keganasan sebagai jenayah pengganas yang dilakukan melalui perbuatan yang bersifat kekerasan yang mengejutkan dan dilakukan oleh kumpulan atau individu untuk mencapai perjuangan mereka. Penjenayah juga kerap kali menggunakan kaedah pengganas dengan melakukan peras ugut secara memilih sasaran khusus iaitu individu atau organisasi yang mereka tentang. Penakrifan ini bersifat umum ketika ancaman pengganas di United Kingdom terbatas kepada kumpulan ekstremis dalam negara. Pada masa ini, pandangan United Kingdom mengenai pengganas telah berubah dan unsur-unsur identiti pengganas banyak dipengaruhi oleh kumpulan atau individu Islam. Keadaan sedemikian berlaku kerana Al-Qaeda dan Osama Bin Laden telah menjadi sasaran dalam memerangi keganasan. Evan dan Stryker (2005) dalam tulisannya mengenai Pengeboman London pada 7 Julai 2005 menggambarkan bahawa perbuatan itu telah dilakukan oleh Osama Bin Laden dan Al-Qaeda, meskipun tidak terdapat sebarang bukti kukuh yang boleh memberikan petunjuk terhadap dakwaan tersebut. Dalam liputan mengenai perkara yang sama, Dickey dan Hirsh (2005) turut menekankan dakwaan terhadap Al-Qaeda dalam pengeboman tersebut yang akan menyaksikan kegigihan dalam penyatuan pendekatan Amerika Syarikat dan Britain dalam memerangi pertubuhan tersebut. Melalui kenyataan-kenyataan tersebut, jelaslah difahami bahawa Islam dan sebarang pertubuhan Islam akan dianggap militan dan mereka kini lebih dikenali sebagai pengganas. Hakikat ini diperkukuhkan lagi dengan kejadian-kejadian serangan bom di Bali (2002), Jakarta (2003), Maghribi, Turkey (2003) Madrid (2004), London (2005) yang telah menjurus dakwaan kepada pengganas Islam yang melakukannya atas dasar jihad dan pengebom berani mati.
Kejadian-kejadian melibatkan pengganas Islam telah meningkatkan kebimbangan negara-negara barat yang merasakan mereka menjadi sasaran akibat kepada dasar-dasar terhadap Palestin dan negara-negara Islam. Pada Oktober 2001, Ahli-ahli Kongres Amerika Syarikat telah dikejutkan dengan surat mengandungi antrax yang dihantarkan kepada mereka termasuk beberapa orang individu tertentu. Mengikut Laporan Senjata Biologi oleh “Bio Weapons Prevention Project” (2004), kejadian itu telah mengakibatkan seramai lima kematian sementara 17 yang lain mengalami kesan jangkitan unsur biologi tersebut. Antrax yang dihantar melalui surat itu telah dinilai sebagai satu bentuk serangan berpotensi untuk menganggu kesejahteraan sosial dan ekonomi yang boleh dilakukan oleh “non- state actor” atau “state sponsored terrorism”. Perkembangan ini mempunyai kesan besar dalam menilai ancaman semasa dikalangan negara-negara yang dihantui dengan rasa takut kerana dasar politik yang diamalkan. Kejadian serangan sarin di subway Tokyo pada tahun 1995 yang menyebabkan 19 kematian dan 5770 orang didapati mengalami kecederaan boleh dikaitkan dengan kemungkinan senjata pemusnah besar-besaran berasaskan kimia, biologi, radiologi dan nuklear akan digunakan pengganas Islam untuk melakukan serangan lebih serius.

Penggunaan CBRN sebagai senjata pemusnah besar-besaran oleh pengganas masih berada pada tahap rendah dan terpencil. Publisiti yang meluas tentang ancaman tersebut sebenarnya merupakan satu langkah berjaga-jaga yang agak keterlaluan. Kecuali kejadian yang melibatkan pembunuhan 750 orang dengan menggunakan racun typhoid oleh Kumpulan Rajnes di Oregon pada tahun 1994 dan serangan Kumpulan Aum Shinrikyo pada tahun 1995, insiden serangan yang lain dikategorikan sebagai ancaman yang mengakibatkan kematian yang terhad (Kaplan dan Marshall, 1996). Rekod yang dikendalikan oleh Canadian Security Intelligent Services (1999) pula menunjukkan terdapat jumlah kejadian palsu dan ancaman yang tidak menjadi kenyataan. Insiden tersebut merupakan kejadian terpencil tanpa atau dengan jumlah kematian yang kecil. Sesungguhnya kejadian itu juga telah menyebabkan kesukaran yang bukan sedikit kepada pihak berkuasa untuk membezakan antara kejadian palsu atau sebenar dalam mengambil langkah tindakan sewajarnya. Situasi ini pula boleh diambil kesempatan oleh pengganas bukan sahaja untuk membangkitkan ketakutan tetapi dengan tujuan mewujudkan gangguan sosial dan ekonomi.

Ketika kumpulan pengganas tradisi masih belum lagi serasi dengan senjata pemusnah besar-besaran, peningkatan penggunaan CBRN bagi pengganas generasi baru dijangka akan meningkat berdasarkan kepada peningkatan tindakan nekad melibatkan kumpulan-kumpulan pengganas. Bahan-bahan yang mudah diperolehi dan peningkatan aktiviti serangan berasaskan agama dan kaum merupakan faktor penyumbang utama ke arah masa depan ancaman senjata pemusnah besar-besaran yang kian menjadi nyata. Kebangkitan kumpulan agama, puak pelampau dan kumpulan pelampau Islam yang menjalankan aktiviti keganasan tanpa niat untuk mewujudkan situasi tawar menawar dengan kerajaan atau memenangi sokongan merupakan trend yang membimbangkan. Kumpulan berkenaan hanya berniat untuk mengakibatkan satu kerosakan yang serius kepada infrastruktur, penduduk dan juga sistem yang wujud. Kumpulan-kumpulan ini pula merupakan sasaran yang sukar kepada agensi-agensi keselamatan dalam menentukan amaran awal atau pencegahan dapat dilaksanakan sebelum mereka melakukan serangan. Mengikut Robert (1997), minat kumpulan pengganas menggunakan senjata kimia dan biologi didapati kian meningkat semenjak serangan sarin di Subway, Tokyo, Jepun pada tahun 1995. Peningkatan dari segi kejadian juga dikesan oleh Pengarah Biro Penyiasatan Persekutuan (FBI) Amerika Syarikat bahawa terdapat peningkatan sebanyak tiga kali ganda iaitu sebanyak 100 kes pada tahun 1997 berbanding tahun sebelumnya. Pada tahun 1998 FBI telah menyiasat sebanyak 68 kes sementara pada tahun 1999, siasatan penyebaran antrax melalui surat merupakan peningkatan angka yang sangat ketara kerana berlaku hampir setiap hari. Canadian Security Intelligent Service (1998) pula mendedahkan bahawa Pegawai Kanan Amerika Syarikat telah mengumumkan secara terbuka bahawa penganjur pengganas, Osama Bin Laden telah secara aktif mencari bekalan kimia, biologi dan nuklear untuk digunakan terhadap sasaran barat.

6. PERSIAPAN MALAYSIA MENGHADAPI PENGGANAS DAN BENCANA KEGANASAN
Kerajaan Malaysia telahpun bersedia untuk menghadapi sebarang serangan pengganas dan juga akibat-akibat daripada perbuatan tersebut dengan beberapa pendekatan seperti berikut:-

6.1. Undang-undang pengawalan dan pencegahan
6.1.1 Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) 1960
6.1.2 Akta Penggubahan Wang Haram (AMLA) 2001
6.1.3 Ordinan Darurat (EO) 1969
6.1.4 Akta Polis 1967
6.1.5 Akta Pencegahan Ketenteraman Awam (POPA) 1969

6.2. Dasar pengurusan dan pengendalian krisis keganasan, bencana dan ketenteraman awam (Arahan Majlis Keselamatan Negara no. 18,20 dan 21: Julai 2001)
Dalam menghadapi krisis keganasan dan bencana Malaysia telah membuat persiapan menghadapinya dengan mengatur beberapa prosedur dan juga tata cara menangganinya dengan mengeluarkan arahan arahan pentadbiran serta dasar-dasar kerajaan di bawah Majlis Keselamatan Negara yang merangkumi tahap-tahap bencana, makenisma pengurusan bencana, perintah dan kawalan, pembahagian zon-zon dan penubuhan jawatan kuasa serta tugasan –tugasan yang merangkumi tindakan penyelesaian bagi menghadapi serangan pengganas dan juga akibat dari perbuatannya. Perkara ini telah termaktub di dalam Arahan Majlis keselamatan Negara No. 18, 20 dan 21.

6.2.1. Tahap-Tahap Bencana
Bencana Tahap 1
Kejadian setempat yang terkawal dan tidak berpotensi untuk merebak dan mampu diatasi di peringkat daerah. Ia tidak begitu kompleks dan berkemungkinan mengakibatkan kehilangan nyawa dan harta benda yang kecil. Bencana ini juga tidak menjejaskan aktiviti harian penduduk setempat secara meluas.

Bencana Tahap 2

Kejadian yang lebih serius meliputi kawasan yang luas atau melebihi dua daerah dan berpotensi untuk merebak. Kemungkinan akan menyebabkan kehilangan nyawa dan kemusnahan harta benda yang banyak. Kejadian ini juga memusnahkan infrastruktur dan menjejaskan aktiviti harian masyarakat. Bersifat lebih kompleks dari bencana tahap 1 dan menyulitkan dari segi usaha mencari dan menyelamat. Perlu dan berupaya dikendalikan oleh pihak berkuasa di peringkat negeri tanpa atau dengan bantuan dari luar yang terhad.

Bencana Tahap 3

Kejadian yang berpunca dari bencana tahap 2, bersifat lebih kompleks atau meliputi kawasan yang lebih luas atau melebihi dua buah negeri. Perlu dan berupaya dikendalikan oleh pihak berkuasa di peringkat pusat tanpa atau dari bantuan luar negara.

Ketentuan tahap bencana bergantung kepada penilaian pihak berkuasa di daerah/negeri/pusat untuk menentukan pengurusan atau mencadangkan pengambilalihan pengendalian bencana oleh pihak yang lebih tinggi.
6.2.2. MEKANISME PENGURUSAN BENCANA

Prosedur bertindak di setiap peringkat pentadbiran kerajaan dalam menangani sesuatu kejadian adalah seperti berikut:

Peringkat Daerah
Sesuatu kejadian bencana pada peringkat permulaan hendaklah dikendalikan oleh agensi-agensi berkenaan dengan menggunakan kaedah kemudahan dan sumber-sumber yang ada di peringkat daerah.
Apabila mendapat lapuran mengenai kejadian bencana, Ketua Polis Daerah dan Pegawai Bomba Daerah akan mengambil tindakan sewajarnya dengan dibantu oleh agensi-agensi penyelamat utama, agensi penyelamat sokongan serta agensi- agensi dan badan sukarela yang bertanggungjawab dalam memberi bantuan dan pemulihan kepada mangsa-mangsa bencana. Ketua Polis Daerah dan Pegawai Bomba Daerah akan masing- masing menjadi komander dan Timbalan Komander Operasi Bencana.

Jawatankuasa Pengurusan Dan Bantuan Bencana Daerah (JPBBD) yang dipengerusikan oleh Pegawai Daerah hendaklah digerakkan dan Pengerusi JPBBD bersama-sama Komander dan Timbalan Komander akan membuat penilaian mengenai bencana yang berlaku.

Peringkat Negeri

Pengurusan dan pengendalian bagi menangani kejadian bencana tahap 2 akan diambilalih oleh pihak berkuasa di peringkat negeri secara keseluruhan ataupun menggerakan sumber-sumber tertentu di bawah kawalan peringkat negeri. Ketua Polis Negeri dan Pengarah Bomba Negeri akan masing-masing menjadi Komander dan Timbalan Komander Operasi Bencana di peringkat ini.

JPBBN yang dipengerusikan oleh YD Setiausaha Kerajaan Negeri hendaklah digerakkan bagi mempastikan segala tindakan pengendalian bencana dapat berjalan dengan teratur dan terselaras sebagaimana arahan MKN 20.

Peringkat Pusat

Apabila pengurusan bencana diambilalih oleh peringkat pusat (bencana tahap 3), maka semua agensi dan sumber yang terlibat termasuk pasukan mencari dan menyelamat, bantuan kecemasan dan sebagainya di peringkat daerah dan negeri akan digembelingkan untuk menangani bencana yang berlaku di bawah JPBBP. Pengarah Keselamatan Dalam Negeri Dan Ketenteraman Awam PDRM serta Timbalan Ketua Pengarah Operasi Jabatan Bomba Dan Penyelamat Malaysia (JBPM) akan masing masing menjadi Komander dan Tim. Komander Operasi Bencana.

JPBBP yang dipengerusikan YB Menteri yang dilantik oleh YAB Perdana Menteri hendaklah digerakkan bagi menentukan agar segala perkara yang melibatkan dasar dan keputusan berkaitan usaha mencari dan menyelamat dan gerakan bantuan terhadap mangsa-mangsa dan sebagainya dapat dilaksanakan secara terselaras, cekap dan berkesan.

6.2.3. PERINTAH DAN KAWALAN

Bagi mempastikan tindakan menangani bencana dapat diambil dengan teratur, terselaras dan berkesan, dua pos peringkat perintah dan kawalan hendaklah diwujudkan, iaitu Pos Kawalan Tempat Kejadian (PKTK) dan Pusat Kawalan Operasi Bencana (PKOB).

Pos Kawalan Tempat Kejadian (PKTK)

Sebaik sahaja sesuatu kejadian diputuskan sebagai bencana dan memerlukan tindakan bersepadu berbagai pihak, sebuah PKTK hendaklah dibuka. Tanggungjawab untuk membuka pos kawalan ini diberi kepada Ketua Polis Daerah yang juga bertanggungjawab melantik pegawai dan anggota PDRM dan lain-lain agensi melalui wakil masing-masing untuk menjalankan operasi di pos kawalan ini.

PDRM juga hendaklah menyediakan peralatan-peralatan komunikasi yang lengkap untuk kegunaan sepanjang tempoh operasi dijalankan. Satu rangkaian komunikasi hendaklah diwujudkan di antara PKTK dan PKOB mengikut tahap bencana yang berlaku. PDRM juga hendaklah menyediakan petugas- petugas dengan secukupnya di PKOB bagi menguruskan sistem komunikasi dan juga merekodkan semua maklumat mengenai penglibatan agensi-agensi mencari dan menyelamat.

Komander Operasi Bencana di tempat kejadian bertanggungjawab untuk menilai, mengurus dan menyelaras semua kerja-kerja mencari dan menyelamat di tempat kejadian.
Di dalam bencana yang berpunca daripada kebakaran atau bahan-bahan berbahaya (HazMAt), JBPM akan bertindak sebagai agensi utama dalam menangani bencana tersebut. Ketua Polis Daerah atau Ketua Polis Negeri yang mana berkenaan masih bertanggungjawab sebagai Komander Operasi Bencana di tempat kejadian untuk menyelaras penglibatan agensi-agensi lain.
Di dalam kemalangan nuklear dan radiologi, Lembaga Perlesenan Tenaga Atom akan bertindak sebagai agensi teknikal utama dalam menangani bencana nuklear dan radiologi.
Semua agensi yang terlibat dalam pengurusan bencana di tempat kejadian hendaklah melapor ke PKTK sebelum memulakan tugas masing-masing.
Agensi-agensi yang terlibat dalam pengurusan bencana di kehendaki menempatkan wakil masing-masing di PKTK untuk melicinkan tugas Komander Operasi dalam menyelaraskan tugas dan tanggungjawab mereka.




Pusat Kawalan Operasi Bencana (PKOB)

Pada masa yang sama, PKOB hendaklah dibuka mengikut peringkat pengurusan bencana berkenaan iaitu di pejabat daerah, Bilik Gerakan BKN Negeri atau Bilik Gerakan BKN. Jawatankuasa pengurusan dan bantuan bencana yang berkenaan hendaklah bersidang di PKOB bagi mengawasi perkembangan dan menentukan usaha menangani bencana, operasi mencari dan menyelamat dan bantuan kecemasan dijalankan dengan teratur dan berkesan.

PKOB hendaklah mempunyai peralatan komunikasi yang lengkap bagi menghubungkannya dengan PKTK, melaporkan perkembangan kepada pihak atasan dan mengeluarkan arahan-arahan yang perlu dalam pengendalian bencana yang berlaku.

Wakil dari agensi-agensi yang terlibat dalam pengendalian sesuatu bencana hendaklah ditempatkan di PKOB sebagai Pegawai Perhubungan bagi agensi masing-masing untuk melicinkan tindakan yang perlu diambil dari hasil keputusan Jawatankuasa Pengurusan Dan Bantuan Bencana.

6.2.4. PENGURUSAN BENCANA DI TEMPAT KEJADIAN
MENGIKUT ZON

Agensi-agensi dan badan sukarela yang terlibat dalam pengurusan dan bantuan bencana boleh dibahagikan kepada tiga katogeri iaitu Agensi Penyelamat Utama. Agensi Penyelamat Sokongan dan Agensi-Agensi Bantuan dan Pemulihan.

Bagi memperkemaskan lagi pengurusan dan pengendalian bencana, tempat kejadian bencana akan dibahagikan kepada tiga zon iaitu zon merah, zon kuning dan zon hijau.

Zon Merah meliputi suatu kawasan mengelilingi tempat bencana. Zon ini adalah kawasan operasi khas untuk pasukan-pasukan penyelamat utama yang mempunyai kepakaran tertentu sahaja seperti unit-unit khas daripada SMART, JBPM, PDRM, ATM, Jabatan Perubatan Kecemasan dan pasukan khas yang ditubuhkan oleh lain-lain agensi yang mempunyai kepakaran khas dan akan menjalankan tugas bersama bagi membantu pasukan penyelamat utama.

Zon Kuning meliputi suatu kawasan yang mengelilingi kawasan zon merah. Zon ini dikhaskan untuk menempatkan pos kawalan di tempat kejadian dan pos-pos agensi penyelamat utama seperti SMART, PDRM, JBPM, ATM, Jabatan Perubatan Kecemasan dan mana-mana pasukan khas yang ditubuhkan oleh lain-lain agensi yang mempunyai kepakaran khas untuk menjalankan tugas bersama dan membantu pasukan penyelamat utama serta agensi agensi penyelamat sokongan seperti Jabatan Pertahanan Awam.

Zon Hijau meliputi suatu kawasan yang mengeliling zon kuning. Zon ini dikhaskan untuk penempatan dan penugasan agensi-agensi bantuan dan pemulihan dan badan-badan sukarela. Agensi-agensi tersebut ialah JKR, Jabatan Kebajikan Masyarakat, TNB, STMB, RELA, PBSM, St.John Ambulans dan mana-mana agensi dan badan sukarela yang lain. Zon hijau ini juga ditempatkan Pusat Pengurusan Media, Pusat Keluarga Mangsa ,Pusat Kaunseling, tempat bekalan makanan, tempat rehat dan tempat mayat.

Jarak antara zon adalah bergantung kepada jenis bencana yang berlaku dan akan ditentukan oleh Komander Operasi Bencana. Komander Operasi Bencana adalah bertanggungjawab menentukan unit-unit atau agensi-agensi penyelamat yang diperlukan untuk menjalankan operasi mencari dan menyelamat di zon-zon berkenaan.

Setiap agensi yang terlibat dengan pengendalian bencana pada amnya hendaklah berada didalam zon-zon yang telah ditentukan. Zon-zon ini perlu dikawal dari segi keselamatan dan lalulintas oleh anggota PDRM/RELA dimana keluar masuk hanya dihadkan kepada pihak yang berkenaan sahaja.

6.2.5. MEKANISME PENGURUSAN DAN PENGENDALIAN
KRISIS KEGANASAN.

Prosedur bertindak dalam menangani sesuatu krisis keganasan adalah
melalui mekanisme seperti berikut:

Jawatankuasa kawalan keganasan.
Bagi tujuan mengurus dan mengendalikan sesuatu krisis keganasan, satu jawatankuasa Kawalan Keganasan ditubuhkan dan bertanggungjawab kepada Majlis Keselamatan Negara (MKN). Jawatankuasa ini akan digerakkan oleh Bahagian Keselamatan Negara (BKN) apabila tercetusnya sebarang kejadian keganasan yang membawa kepada krisis yang mengancam kepentingan Negara. Jawatankuasa ini bersidang di Bilik Gerakan, Bahagian Keselamatan Negara, Jabatan Perdana Menteri. Unit Pengurusan Krisis dan Bencana, MKN bertanggungjawab menjalankan tugas urusetia kepada jawatankuasa ini.
Bidang tugas jawatankuasa kawalan keganasan adalah seperti menentukan strategi bagi mengatasi dan mengendalikan krisis serta tindakan yang perlu diambil akibat dari keganasan yang berlaku. Mengeluarkan arahan dan panduan bertindak kepada pasukan pengurusan krisis termasuk melulus dan mengeluarkan kenyataan media berkaitan dengan krisis.

Pasukan Pengurusan Krisis

Bagi membantu Jawatankuasa Kawalan Keganasan melaksanakan tindakan menangani keganasan, satu Pasukan Pengurusan Krisis ditubuhkan dan bertanggungjawab terus kepada jawatankuasa tersebut. Jabatan KDN/KA PDRM sebagai urusetia kepada pasukan ini, adalah bertanggungjawab untuk menggerakkan Pasukan Pengurusan Krisis apabila tercetusnya sebarang kejadian keganasan .

Bidang tugas Pasukan Pengurusan Krisis (PPK) adalah seperti Mengambil langkah yang perlu sebagai persediaan untuk bertindak bagi menangani krisis yang berlaku di tempat kejadian.Menilai dan menganalisis situasi krisis semasa dan menyediakan pelan tindakan yang kemas, teratur serta berkesan.
Seterusnya PPK mengendalikan krisis keganasan secara langsung di tempat kejadian.Membuat perakuan kepada Jawatankuasa Kawalan Keganasan bagi menentukan pemilihan pasukan penggempur sama ada dari PDRM atau ATM berdasarkan bentuk keganasan tersebut dan seterusnya membuat laporan , syor serta nasihat kepada JKK.

Pengendalian Krisis Keganasan Yang Melibatkan Warganegara Atau Kepentingan Malaysia Di luar Negara.

Bagi kejadian keganasan yang berlaku di luar negara yang melibatkan penahanan warganegara Malaysia sebagai tebusan dimana boleh mengancam nyawa atau tindakan keganasan yang menjejaskan kepentingan Malaysia di luar negara, Jawatankuasa Kawalan Keganasan hendaklah digerakkan. Sebarang bentuk tindakan yang bakal diambil bagi menangani atau menyelesaikan kejadian tersebut akan ditentukan dan diputuskan oleh jawatankuasa ini.

Kumpulan bantuan kepada Pasukan Pengurusan Krisis

Bagi membantu Pasukan Pengurusan Krisis menjalankan operasi menangani keganasan, tiga kumpulan dibentuk dan bertanggungjawab terus kepada pasukan ini. Kumpulan tersebut adalah Kumpulan perunding, Kumpulan bantuan kecemasan dan Kumpulan Penggempur.

Kumpulan Perunding

Kumpulan Perunding adalah terdiri daripada mereka yang terlatih dan berpengalaman dalam bidang perundingan dan berperanan sebagai kumpulan perhubungan dengan pihak pengganas dalam menerima, mengumpul dan menyampaikan maklumat untuk memudahkan Pasukan Pengurusan Krisis membuat keputusan. Tugas utama kumpulan ini adalah untuk mengekalkan perhubungan dan mengadakan perundingan dengan pihak pengganas bagi mencari penyelesaian secara damai tanpa menggunakan keganasan.

Kumpulan Bantuan Kecemasan

Kumpulan Bantuan Kecemasan adalah terdiri daripada agensi- agensi yang memberi bantuan kepada Pasukan Pengurusan Krisis dalam bertindak bagi menangani krisis yang berlaku. Agensi- agensi terlibat adalah seperti Angkatan Tentera Malaysia (ATM), Polis Diraja Malaysia (PDRM), Perkhidmatan Perubatan Kecemasan, Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM), Persatuan Bulan Sabit Merah dan Telekom Malaysia Bhd. Agensi- agensi berkenaan bertanggungjawab dalam memberikan bantuan kepada Pasukan Pengurusan Krisis.

Kumpulan Penggempur

Kumpulan Penggempur adalah terdiri daripada unit-unit pasukan keselamatan yang terlatih seperti Pasukan Gerakan Khas (PGK) PDRM, Grup Gerak Khas (GGK) TDM, Pasukan Khas Laut (PASKAL) TLDM dan Pasukan Khas Tentera Udara (PASKAU) TUDM bagi menggempur pengganas jika penyelesaian menerusi rundingan menemui kegagalan, atau jika keadaan di mana tindakan penganas itu akan mengancam keselamatan nyawa tebusan, premis atau harta benda. Unit Penggempur yang dipertanggungjawabkan akan ditentukan oleh Pasukan Pengurusan Krisis bergantung kepada kesesuaian serta bentuk krisis yang dihadapi.

Bidang tugas Kumpulan Penggempur adalah merancang pelan bertindak, menyelamatkan nyawa orang tebusan, harta benda dan
Premis serta menawan atau menghapuskan pengganas-pengganas.

Kumpulan Eksekutif

Satu Kumpulan Eksekutif hendaklah dibentuk oleh BKN berdasarkan keperluan serta arahan Jawatankuasa Kawalan Keganasan. Kumpulan ini diwujudkan bagi membantu Jawatankuasa ini menangani krisis keganasan yang kompleks serta berpanjangan, sama ada berlaku di dalam mahupun di luar negara yang mengancam keselamatan nyawa dan kepentingan Malaysia, dimana beberapa pendekatan daripada pelbagai sudut strategik perlu dipertimbangkan.

Keanggotaan Kumpulan Eksekutif itu hendaklah terdiri daripada Pegawai-pegawai Kanan yang berpengalaman di dalam pengurusan dan pengendalian krisis keganasan daripada BKN serta agensi/jabatan berkenaan. Timbalan Ketua Pengarah BKN hendaklah dilantik bagi mempengerusikan Kumpulan Eksekutif ini.

Bidang tugas Kumpulan Eksekutif ini ialah termasuklah menganalisis isu keganasan yang berlaku, merangka senario kemungkinan penyelesian krisis dan memperakukan opsyen-opsyen pendekatan yang strategik bagi tindakan yang melibatkan dasar dalam penyelesaian krisis.

Pengendalian Krisis Keganasan Yang Melibatkan Campurtangan
Dan Tekanan Oleh Individu/Kumpulan Luar

Bagi kejadian krisis keganasan yang berlaku di luar negara dan warga Malaysia sebagai tebusan, dimana terdapatnya unsur-unsur campurtangan dan tekanan oleh individu/kumpulan luar, Jawatankuasa Kawalan Keganasan hendaklah memperakukan kepada kerajaan mengenai tindakan-tindakan yang perlu diambil bagi menangani krisis keganasan tersebutdengan mengambil kira pertimbangan dari aspek kepentingan negara yang melibatkan politik domestik, hubungan diplomatik serta kepentingan strategik dua hala atau serantau.

6.2.6. LANGKAH TINDAKAN AWAL OLEH PASUKAN TINDAK BALAS PERTAMA (FIRST RESPONDER) DI TEMPAT KEJADIAN

Langkah-langkah tindakan awal di tempat kejadian ialah bertujuan untuk menstabilkan keadaan, menentukan keselamatan, menyelamatkan nyawa dan harta benda dan seterusnya mengambil tindakan lanjut dengan lebih teratur dan berkesan. Mereka yang berperanan sebagai Pasukan Tindak Balas yang pertama tiba di tempat kejadian hendaklah mengambil tindakan menilai keadaan bencana dan ancaman agar penilaian dapat dibuat dan Pusat Kawalan Tempat Kejadian (On-scene Command Post).

Pertimbangan Umum

Berusaha untuk mendapatkan seberapa banyak maklumat dari tempat kejadian dan mengambil kedudukan pada jarak yang bersesuaian dengan membelakangi arah angin (upwind) ke arah tempat kejadian.
Teruskan untuk mengesan dan memantau kemungkinan kehadiran pengganas atau bahan-bahan berbahaya yang memudaratkan dengan kemungkinan serangan kali kedua. Berusaha mengesahkan kaedah menghentikan penyebaran bahan berbahaya yang mencemarkan serta sentiasa waspada untuk melengkapkan diri dengan alat perlindungan diri/Personal Protection Equipment (PPE).

Menangani Penyebaran Disyaki Bahan Kimia

Penyebaran bahan kimia boleh memperlihatkan kesan segera terhadap mangsa. Pasukan tindak balas hendaklah mengambil pertimbangan seperti memerhatikan tanda-tanda kematian binatang atau seranga sebagai rasional mengesan kehadiran bahan kimia dengan menggunakan PPE yang bersesuaian mengikut tahap risiko. Memastikan kawasan lingkaran dalam hendaklah sekurang-kurangnya diletakkan sejauh 100 meter dari lokasi disyaki dan kenalpasti perubahan warna udara persekitaran tempat kejadian untuk menentukan jenis bahan berbahaya.
Elakkan orang tercemar dari bergaul dengan penyelamat tanpa PPE dan orang ramai yang tidak terdedah kepada pencemaran. Hospital perlu dimaklumkan agar proses nyahcemar (decontimination) dilakukan keatas individu yang pergi sendiri ke hospital dan tentukan tempat yang sesuai untuk proses nyahcemar sebelum ketibaan perkhidmatan perubatan Kecemasan.

Terus menumpukan kepada usaha mencari bahan bukti dan saksi-saksi atau penjenayah di kalangan orang yang berada di lokasi kejadian dan kesemua bahan bukti hendaklah diuruskan untuk penyiasatan.

Menangani Penyebaran Disyaki Bahan Biologi

Penyebaran bahan biologi biasanya tidak memberikan kesan segera dan proses mengenalpasti bahan itu juga akan mengambil masa. Tindakan berikut adalah dicadangkan iaitu mendapatkan maklumat atau panduan lanjut dari pemberi maklumat dengan menggunakan telefon kerana menghampiri lokasi tempat kejadian memerlukan PPE. Maklumkan kepada mangsa di tempat kejadian bahawa pertolongan sedang diperolehi dan dalam perjalanan.Menyakinkan mangsa bahawa mereka tidak harus meninggalkan tempat kejadian atau terus berada di tempat tinggal mereka dan Arahkan penghuni ditempat kejadian menutup pintu dan alat hawa dingin.

6.2.7. TINDAKAN PASUKAN PENYELAMAT

Pasukan Penyelamat diketuai Komander Operasi yang tiba di tempat kejadian hendaklah memakai pakaian perlindungan diri (PPE) yang bersesuaian untuk tujuan tugas menyelamat. Mereka perlu mendapatkan seberapa banyak maklumat dari pasukan tindak balas kecemasan yang berada di tempat kejadian lebih awal.

Perkara-perkara berikut adalah merupakan amalan yang seharusnya dipraktikkan di tempat kejadian iaitu Komander Operasi (PDRM) bersama Timbalan Komander (Bomba Dan Penyelamat) hendaklah mengenalpasti kawasan lingkaran dalam (inner cordon) untuk menentukan zon operasi pasukan penyelamat dan pasukan sokongan.

Mulakan tindakan menyelamat dengan melakukan nyahcemar kering (dry decontimination) ke atas mangsa-mangsa (menanggalkan pakaian dan menyimpan dalam beg plastik) dan diikuti dengan nyahcemar basah menggunakan air atau bahan pembersih cecair.
Mendapatkan khidmat nasihat kepakaran agensi-agensi berkaitan dalam menangani ancaman di tempat kejadian (Lembaga Perlesenan Tenaga Atom, TNB, Telekom, Jabatan Kimia)
Dokumentasi rasmi ke atas mereka yang dipindahkan mengenai potensi pencemaran terhadap mereka dan tentukan pergerakkan mereka. Pasukan Pemusnah Bom hendaklah menandakan tempat-tempat yang telah diperiksa dan jika tempat kejadian berlaku di dalam bangunan, pintu dan tingkap bangunan hendaklah terus ditutup.

6.2.8. PERTIMBANGAN DALAM PROSES NYAHCEMAR
(DECONTIMINATION)
Amalan proses nyahcemar yang dicadangkan termasuklah menentukan tempat proses nyahcemar diletakkan di Zon Kuning dalam membelakangi arah tiupan angin kearah tempat kejadian atau tempat yang lebih tinggi. Tentukan tempat nyahcemar selamat dari sebarang kemungkinan letupan, serangan kedua atau keruntuhan bangunan.
Menentukan proses nyahcemar menepati objektif dengan menggunakan bahan-bahan cecair pembersih yang mudah digunakan. Air yang digunakan untuk proses nyahcemar hendaklah dikumpulkan dan dirawat sewajarnya. Semua barang-barang yang digunakan dan pakaian petugas dalam proses nyahcemar hendaklah dianggap sebagai bahan berbahaya dan alat-alat penyelamat di dalam zon operasi juga perlu dinyahcemar.




6.2.9. PENYUSUNAN PELAN KAWASAN KEJADIAN

Perkara perkara berikut hendaklah dipertimbangkan oleh Komander tempat kejadian bersama Pasukan Bomba dan Penyelamat hendaklah menentukan zon di tempat kejadian (merah, kuning, hijau).

Zon dan sempadan kawasan tempat kejadian hendaklah diubah mengikut perubahan arah atau kelajuan tiupan angin, apabila bahan bahaya telah diketahui, terdapat alat-alat peletup atau penyebaran bahan ditemui, atau jika dijangka akan berlaku serangan kedua.

Kawalan jalan keluar masuk (access control) ke tempat kejadian hendaklah dilaksanakan. Zon operasi kawasan tempat kejadian hendaklah dikawaldan kenderaan yang keluar dari kawasaan kejadian hendaklah diimbas terlebih dahulu. Semua mangsa yang terdapat di dalam lingkungan zon yang ditetapkan di tempat kejadian akan berada di dalam salah satu kategori samada tidak cedera/tidak dijangkiti, cedera atau telah mati.

6.2.10. PENGURUSAN MANGSA YANG DIPINDAH

Mereka yang berada di lokasi kejadian tetapi tidak mengalami jangkitan atau kecederaan akan mengalami tekanan dan akan meninggalkan kawasan kejadian sebelum proses nyahcemar dilakukan. Mereka juga akan berada dalam keadaan tertekan dengan cuba memcederakan diri mereka, membantah arahan pegawai-pegawai penyelamat atau polis dan cuba mengambil PPE dari pasukan penyelamat. Mereka perlu ditenangkan dan diberikan jaminan keselamatan bersesuaian.






7. KESIMPULAN

Malaysia sememangnya telah bersiap sedia dalam melaksanakan persiapan menghadapi serangan pengganas walaupun belum terdapat lagi serangan yang hebat dan besar namun sudah terbukti kejayaannya dalam penghapusan pihak bersenjata komunis yang cuba menguasai negara pada suatu masa dahulu dan juga dapat mengawal merebak dan berkembangnya kumpulan-kumpulan pengganas seperti jemaah ai-islamian dan juga menumpaskan kumpulan ekstremis seperti al-maaunah dan juga kumpulah Hindraf yang cuba-cuba untuk menapak di negara ini.
Walaupun belum ada bencana besar akibat serangan pengganas di negara Malaysia tetapi kejayaan-kejayaan negara dalam menghadapi bencana semulajadi dan juga bencana kesilapan manusia juga membuktikan bahawa Malaysia telah berjaya untuk menghadapinya seperti kejadian tanah runtuh, tumbangnya bangunan highland tower, kejadian banjir besar dan juga kejadian serpihan dari tsunami yang juga dianggap bencana yang menimpa negara Malaysia. Undang-undang dan Arahan pengendalian bencana yang dikeluarkan oleh Majlis Keselamatan Negara sudah mencukupi bagi Malaysia untuk menghadapi serangan pengganas dan akibat dari perbuatan keganasan itu. Walaupun begitu Neraga Malaysia tidak boleh duduk diam dengan apa yang telah ada dan hendaklah memperbaiki lagi kesiapsiagaannya dalam dunia globalisasi tidak begitu tenteram.












RUJUKAN

Adrian Dwyer, John Eldrige dan Mick Kernan. (2002). Jane’s Chen-Bio
Handbook (Second Edition). New York : Preston Press.
Ahmad Murad Merican. (2002). Civilization And Terrorism, The Ambivalence
of Interpretation. Selangor : UITM.
Amerika Syarikat. (1999). U.S. General Accounting Office (GAO), Combating
Terrorism – Need for Comprehensive Threat Assessments of Chemical and Biological Attacks. New York : Preston Press.
Brad Roberts. (1997). Terrorism With Chemical and Biological Weapons :
Calibrating Risks and Responses. Alexanderia, VA : Chemical and Biological Arms Control Institute.
Craig DeAtley, Susan Allan, William Hauda, Paul DeHaven dan Ann Stangby
(2003). Mass Casualty Handbook : Pre Hospital Emergency
Malaysia. (2002). Arahan Majlis Keselamatan Negara No. 18. Pengurusan Dan
Pengendalian Krisis Keganasan (Disemak semula). Kuala Lumpur : Percetakan Nasional.
Richard A. Falkenrath. (1998). Confronting Nuclear, Biological and Chemical Terrorism. Survival, Autumn. London : Lincoln Press.
Shad Saleem Faruqi. (2002). Civilization And Terrorism, The Ambivalence of
Interpretation. Ahmad Murad Merican (ed.). Selangor : UiTM.

Zarina Othman. 2005. Politik dan Keselamatan. Bangi: Penerbit Universiti Kebangsaan Malaysia .












1 comment:

  1. Assalamualaikum tuan. Saya ingin bertanya adakah artikel ini milik tuan? Jika ye saya ingin jadikan sebagai rujukan dalam research paper saya.

    ReplyDelete